Bapa Ini 1 dalam 1000, doakan anak di luar pagar sekolah Tanpa Meminta Apa-Apa.

Benarlah doa ibu bapa itu mustajab!Oleh itu, setiap anak pastinya mengharapkan keberkatan doa ibu bapa masing-masing dalam menjalani kehidupan seharian.

Baru-baru ini rakaman tular menunjukkan seorang bapa sedang menghantar anaknya di hadapan pagar sekolah dan menadah tangan berdoa sebelum beredar menaiki sebuah motosikal menyentuh hati netizen sehingga ada yang mengalirkan air mata.Netizen menganggap anak kepada lelaki tersebut amat bertuah kerana memiliki seorang bapa yang penyayang.

Nurul Aisyah, anak bongsu kepada Bakri Md Noor, 53, lelaki yang videonya tular di media sosial itu tidak menduga ‘amalan’ bapanya itu akan mendapat perhatian ramai.Pelajar tingkatan 5 di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata dia sudah terbiasa dengan amalan tersebut yang turut menjadi ikutan mereka lima beradik sejak kecil lagi.

Aisyah (kanan) bersama bapa dan kakak ketiganya. 

“Abah memang buat macam dengan kami adik-beradik dari arwah mak ada lagi… satu keluarga kami memang macam tu. “Masa mak ada lagi, masa abah nak pergi kerja kami akan lambai abah dari rumah. Mak akan baca doa semoga perjalanan abah selamat. “Jadi ia dah jadi ‘habit’ sebab mak dah selalu tunjuk, jadi kami pun ikut sekali,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ketika pertama kali melihat video tular tersebut, Nurul Aisyah atau lebih mesra disapa Aisyah berkata dia amat terharu dengan tindakan bapanya.

“Macam biasa saya akan salam abah kemudian cium pipi abah sebelum masuk sekolah. Saya tau abah doakan saya tapi bila tengok video tu, saya rasa terharu. “Dalam hati kecil saya kata Alhamdulillah bertuahnya dapat bapa macam abah sebab jarang kita tengok bapa orang lain buat macam tu,” katanya.

Aisyah tidak menolak selain pentingnya usaha, doa ibu dan bapanya menjadikan mereka lima beradik cemerlang dalam pelajaran masing-masing.Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, kakak sulungnya bekerja sebagai jurutera manakala kakak ketiganya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam.

“Walapun saya tak tahu apa yang ibu dan abah doakan untuk kami tapi saya tahu mereka mahukan semua anak mereka berjaya. “Abah dulu jurutera… Alhamdulillah kakak pun bekerja sebagai jurutera di Shah Alam manakala abang pula kerani operasi di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Adik-beradik Aisyah (paling kanan) mengikut turutan.

“Kakak kedua saya suri rumah… kakak ketiga saya masih belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh dalam jurusan kejuruteraan awam.”Insya-allah saya juga akan mengikut jejak langkah kakak-kakak saya tapi saya lebih berminat dengan komputer dan teknologi,” kata pelajar aliran sains itu.

Aisyah berkata bapanya pernah bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ibunya, Sabariah Ariffin yang menghidap kanser paru-paru pada 2014.

“Dulu abah engineer tapi dia sanggup berhenti kerja sebab nak jaga mak.

“Mak dikesan kanser tahap 4 hujung tahun 2014. Jadi abah jaga mak sampailah mak meninggal pada 29 November 2016,” katanya.

Selepas pemergian ibunya, Aisyah berkata bapanya membuat keputusan untuk tidak lagi bekerja dan berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan demi memberi tumpuan kepada dirinya yang masih bersekolah.

“Saya anak bongsu jadi memang rapat dengan mak. Sebelum mak meninggal, mak ada pesan dekat abah supaya jaga saya sampai habis sekolah.

“Abah tunaikan janji mak. Abahlah yang hantar dan ambil saya balik sekolah naik moto. Dia juga akan masak untuk Aisyah.

“Sekarang abah jual nasi lemak. Kalau ada orang order dia akan buatkan. Abah belajar dari arwah mak sebab dulu mak pun berniaga nasi lemak,” katanya yang tinggal bersama bapa dan abangnya di Juru, Pulau Pinang.

Gambar kenangan Aisyah (dua dari kanan) bersama ibunya semasa majlis akad nikah kakak sulungnya.

Memandangkan Aisyah akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) November ini, dia berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang bagi membalas jasa bapanya.

“Saya pernah janji dengan arwah mak nak berjaya… nak bawa mak jalan-jalan tapi tak sempat. Kalau nak patah balik masa memang tak dapat, jadi inilah peluang saya nak balas jasa abah.

“Bila tengok video viral ramai komen baik-baik… Alhamdulillah mereka doakan saya tapi pada masa sama saya rasa tertekan sebab takut kalau tak dapat result elok.

“Sampai saya terfikir… Ya Allah kalau tak dapat result elok macam mana nak balas jasa abah. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik demi abah,” katanya yang menyasarkan untuk mendapat 6A, 3B dalam SPM nanti.

Sementara itu, Aisyah turut menasihati rakan seusianya supaya menghormati dan menghargai ibu bapa masing-masing.

“Saya harap sangat anak-anak muda hargai ibu bapa anda sementara mereka masih ada. Bila dah jadi macam saya baru nak rindu mak… saya pun tak sangka akan kehilangan mak pada usia yang muda.

“Tak sempat nak tunjuk result PT3 kepada mak… tak sempat nak bermanja lebih lama lagi dengan mak.

“Hargailah mereka kerana kita tak tahu sampai bila mereka akan bersama dengan kita. Allah boleh tarik nikmat kasih sayang tu bila-bila masa tanpa petunjuk atau amaran,” katanya sebak.

Foto Aisyah bersama keluarga besarnya.

Video tular tersebut dirakam Siti Zulaikha Zainal Abidin, 32, guru bertugas di pintu pagar sekolah tersebut pada Jumaat lalu.

Bercerita kepada mStar Online, Siti Zulaikha berkata dia berasa sayu ketika menyaksikan detik itu sebelum bertindak membuat rakaman video pendek.

“Pagi itu sekitar pukul 7.25, saya sedang jaga pintu pagar sekolah. Berbeza dengan kebanyakan ibu-bapa lain yang sekadar hantar dan bersalaman, saya tengok bapa kepada pelajar itu mematikan enjin dan turun dari motor.

“Setelah anak perempuannya berlalu pergi, dia berdoa begitu lama sekali. Sebab tu saya sempat rakam video. Ia begitu menyentuh hati dan saya terus menangis di situ.

“Tapi tujuan saya rakam tu untuk hantar pada suami sahaja pada mulanya. Saya rasa sayu sebab tak berkesempatan hantar anak sendiri ke tadika setiap hari, selepas itu baru saya muat naik ke Instagram dan Facebook,” katanya.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *