Tidak Tahan Asyik Kena ‘Bahan’ Dengan Penyokong Malaysia, Penjaga Gol Thailand Privasikan Instagram

“ Atmosfera yang berbeza, penyokong yang berbeza dan juga tempat yang akan menyedarkan mereka berada di Thailand dimana semua orang memberikan sokongan kepada skuad Gajah Perang.

“ Saya harapkan Malaysia dapatkan tidur yang nyenyak malam ini kerana hari esok bakal menjadi mimpi ngeri buat kamu. Saya amat yakin!” kata Chatchai menurut laporan FoxSport Asia.

Kerana kata-kata yang agak angkuh dan ‘over confident’ itu, Chatchai terpaksa menelannya semula dan berhadapan dengan ‘serangan’ balas penyokong Malaysia.

Hasrat penyokong Harimau Malaya untuk mengucapkan selamat malam kepada Chatchai Budprom menerusi instagram rasmi miliknya, boy_chatchai_1 tidak kesampaian selepas penjaga gol Thailand itu mengaktifkan mode privasi awal pagi tadi.

Sama ada tidak tahan ‘dibahan’ atau malu ekoran ayat pedas Chatchai menjerut lehernya sendiri, penjaga gol berusia 31 tahun itu terus bertindak sedemikian setelah skuad Gajah Perang tersingkir di separuh akhir Piala AFF di laman sendiri, malam tadi.

Apa yang pasti, tindakan tersebut membolehkan Chatchai tidur dengan lena tanpa diganggu anasir nakal daripada penyokong Malaysia.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan Chatchai, di mana dia dilihat profesional ketika menerima provokasi daripada pemain simpanan Malaysia selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok semalam.

Selepas wisel penamat dibunyikan beberapa pemain simpanan Harimau Malaya meluru masuk ke dalam padang bagi mendapatkan Chatchai di gawang golnya, sebelum mengelilingi pemain Thailand itu.

Penjaga gol tinggi lampai itu dilihat tenang mengendalikan sindiran daripada pemain negara dan menghulurkan tangan untuk berjabat sebagai tanda ucapan tahniah kepada Malaysia.

Tindakan profesionalnya tidak terhenti di situ, Chatchai juga dilihat cuba menghalang serangan rakan sepasukannya yang berang dengan provokasi pemain Malaysia.

Malaysia mara ke final Piala AFF buat kali keempat dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2, dengan perlawanan akhir pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa depan sama ada berdepan Vietnam atau Filipina

Pemain Malaysia nafi tidak professional

Sementara itu skuad Harimau Malaya menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka tidak profesional ketika meraikan kemaraan Malaysia mara ke pentas final Piala AFF dengan aksi ‘menghina’ penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom sebaik wisel penamat ditiupkan di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam.

Pada separuh akhir kedua yang berkesudahan seri 2-2 itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya menamatkan perjuangan pasukan tuan rumah menerusi peraturan gol di tempat lawan namun cara pemain negara menyambut kemenangan itu dikatakan menimbulkan kemarahan penyokong skuad Gajah Perang.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam, barisan pemain di bangku simpanan negara berlari ke arah Chatchai sebaik berakhirnya perlawanan dengan ada yang mengelilingi penjaga gol serta ada juga yang tidur di depannya.

Penyerang negara, Syafiq Ahmad menjelaskan, insiden itu sebenarnya berpunca daripada Chatchai sendiri yang melakukan provokasi ketika gol kedua Thailand dijaringkan pada minit ke-63 apabila dia berlari ke arah bangku simpanan Malaysia dengan membuat gaya tidur kepada pemain dan pegawai pasukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *